SHAH ALAM - Penganjur Food Mega Festival memohon maaf kepada orang ramai yang tidak berpeluang menikmati durian secara bufet hari ini apabila acara kendurian terpaksa dihentikan selepas kira-kira dua jam berlangsung di Dataran Shah Alam.
Mohd Izrul Hanafiah berkata, pihaknya terpaksa menghentikan acara itu selepas mendapati hanya 30 peratus daripada 20 tan stok durian bakal dihidangkan kepada orang ramai yang masak.

"Kami minta maaf durian masih belum masak, disebabkan itu kami tak benarkan orang ramai yang beratur masuk ke ruangan disediakan, termasuk buat bayaran.
"Jadi sebelum mereka lihat sendiri durian tak masak, kita hentikan kendurian ini buat sementara waktu walaupun menerima pelbagai kecaman," katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak menjangkakan perkara seumpama itu akan berlaku, meskipun sudah membuat persediaan sejak tiga bulan lalu.
"Kita sudah habiskan RM150,000 untuk pastikan orang ramai dapat makan durian hari ini dan esok.

"Kita juga sudah lantik pakar khusus dalam memastikan kendurian ini dapat diteruskan secepat mungkin. Kita akan kemas kini perkara ini dari semasa ke semasa," katanya.
Pada masa sama katanya, apabila kesemua durian sudah masak, pihaknya akan meneruskan acara berkenaan namun tarikhnya belum dapat dipastikan.

"Tiada istilah buat kami untuk hentikan kendurian ini atau bertindak menjual secara pukal dan kilo, itu janji kami.
"Kami nak beri makan secara bufet supaya semua orang dapat berkumpul dan menikmati durian ini," katanya.

Acara Kendurian sempena Food Mega Festival dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula hari ini dari jam 10.30 pagi hingga 11.30 malam.
Harga bufet yang ditawarkan, RM19 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak berusia bawah 18 tahun.