Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 pagi itu menyebabkan Abdul Rashid Abdul Rahman, 29, dari Teluk Intan, meninggal dunia di tempat kejadian selepas terpelanting ke hadapan dihentam tayar berkenaan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sewaktu kejadian, mangsa dan pemandu berusia 30 tahun yang menaiki lori jenis Mitsubishi Fuso dengan membawa muatan barang dapur dari Teluk Intan menuju ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata, ketika dalam perjalanan, mereka memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan selepas terdengar bunyi di bahagian belakang lori.
"Kelindan tersebut turun dahulu untuk memeriksa keadaan tayar manakala pemandunya masih berada di dalam lori berkenaan.
"Sebaik sahaja kelindan itu turun dari lori dengan pintunya masih terbuka, satu tayar dipercayai dari sebuah lori yang tidak dapat dipastikan nombor pendaftaran, telah tercabut dan bergolek melalui celah antara penghadang besi jalan dan lori berkenaan lalu menghentam kelindan tersebut," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Kamarul Azran berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat dan kenderaan terlibat telah dibawa balik ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim untuk pemeriksaan Puspakom.

Selain itu katanya, rakaman video 'dashcam' lori tersebut juga telah diperoleh selain diperiksa sekiranya terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.

Tambah beliau, mana-mana saksi yang melihat kejadian itu diminta tampil menghubungi IPD Muallim bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE