Web Hosting

Peguam Ini Kongsi Tips Mudah Untuk Mohon Anak Angkat

Menerusi satu coretan yang dipetik dari laman Facebook, peguam ini yang dikenali sebagai Hasif Hassan telah berkongsi cara mudah untuk memohon pengambilan anak angkat yang mungkin ramai yang tidak tahu. 
Jom baca perkongsian dari beliau. 
Saya ditanya oleh rakan satu soalan berkisar mengenai hasrat mengambil anak angkat perempuan yang berusia 2 tahun. 
Kanak kanak ini dari keluarga yang bercerai dan terlibat dengan kes dadah. 
Keluarga ini bersetuju untuk menyerahkan anak mereka kepada rakan saya.
Jawapan kepada soalan rakan saya;
Rakan saya ini layak bagi mengambil anak angkat kerana merupakan pasangan suami isteri dan berusia lebih 25 tahun dan 18 tahun lebih tua dari kanak kanak (bujang masih berpeluang dengan syarat tertentu) dan kerana kanak kanak tersebut berusia di bawah umur 18 tahun.
Untuk memulakan proses mendapatkan anak angkat ini;
Surat Akuan Berkanun (Surat Keizinan Pengangkatan) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara hendaklah diisi oleh ibu dan bapa kandung kanak kanak.*
Di dalam surat tersebut dinyatakan bahawa mereka iaitu bapa dan ibu kandung kanak kanak telah bersetuju untuk menyerahkan kanak kanak bernama XXX dengan nombor sijil kelahiran XXX kepada ibu dan bapa angkat bernama XXX dan bernombor kad pengenalan XXX.
Ibu dan bapa kandung faham kesan surat keizinan ini dan akan memindahkan hak penjagaan kepada Ibu bapa angkat.
Ibu bapa kandung tidak akan menuntut balik kanak kanak ini.
Juga tarikh penyerahan kanak kanak ini akan ditulis pada Surat Keizinan Pengangkatan ini.
Ibu bapa kandung hendaklah menandatangani surat tersebut secara bersumpah di hadapan Tuan Majistret atau Pesuruhjaya Sumpah. Ada sesetengah negeri yang menghendaki Tuan Majistret sahaja yang boleh menandatangai surat ini.
Surat Keizinan Pengangkatan ini hendaklah distamp menggunakan stem hasil.
Surat ini hendaklah disimpan selamat oleh ibu bapa angkat selama 2 tahun dan boleh digunakan bagi urusan rasmi.
Kanak kanak ini akan dijaga, dibesarkan, ditanggung dan didik oleh ibu bapa angkat bagi tempoh dua tahun.
Perlu diketahui bahawa kanak kanak ini wajib tinggal bersama dengan ibu bapa angkat dalam tempoh tersebut.
Setelah genap tempoh dua tahun maka ibu bapa angkat hendaklah pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memohon Sijil Pengangkatan.
JPN akan membuka satu fail bagi permohonan ibu bapa angkat.
JPN akan menetapkan tarikh untuk datang ditemuduga di pejabat.
Kehadiaran kanak kanak adalah wajib kerana pegawai JPN akan bertanyakan pelbagai soalan terutama selama tempoh dua tahun kanak kanak tinggal bersama ibu bapa angkat.
Tujuannya tidak lain hanya bagi memastikan kebajikan kanak kanak ini terjaga.
JPN juga akan menghantar surat makluman kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenai permohonan ibu bapa angkat ini.
JKM juga akan memanggil ibu bapa angkat untuk ditemuduga. Setelah itu satu laporan akan dihantar oleh JKM kepada JPN.
Setelah segala urusan selesai maka barulah JPN akan mengeluarkan Siji Pengangkatan dan Mykid yang baru kepada kanak kanak tersebut. Setelah pengeluaran Sijil Pengangkatan maka ibu bapa tersebut adalah ibu bapa angkat kanak kanak ini secara rasmi.
Sekian.
*proses ini hanya relevant bagi pengangkatan terus daripada ibubapa kandung, namun jika kanak kanak tersebut telah didaftarkan di bawah jagaan JKM, proses perlu melalui perintah mahkamah
Semoga perkongsian berikut dapat memberi manfaat kepada individu yang ingin mengambil anak angkat. 

No comments