Web Hosting

ALF2 Catat Kutipan RM13 Juta Selepas 2 Minggu

ALF2 Catat Kutipan RM13 Juta Selepas 2 Minggu

JIKA ada sutradara dakwa konon filem mereka gagal ketika ini kerana faktor ekonomi Malaysia, Abang Long Fadil 2 (ALF2) pula mencatat kutipan RM13 juta sepanjang dua minggu ditayangkan.

Berita luar biasa tersebut menurut penerbitnya sendiri, Datuk Yusof Haslam, sekali gus membuktikan filem Melayu di negara ini sebenarnya masih mendapat tempat di hati penonton tempatan setanding filem dari luar negara.
“Saya mahu berterima kasih kepada mereka yang sokong ALF2 sehingga catat kutipan pecah panggung. Saya berharap sokongan ini juga akan berterusan untuk filem Melayu yang lain,” katanya dipetik akhbar tempatan.
Terdahulu pada 30 Ogos lalu, media melaporkan ALF2 merekodkan kutipan lebih RM5 juta setelah lima hari ditayangkan di pawagam di sebalik isu filem itu ‘bocor’ 30 minit akibat dirompak pihak tidak bertanggungjawab.
ALF2 yang diterbitkan Skop Productions Sdn. Bhd. itu secara tidak langsung juga berjaya mengatasi kutipan filem sebelum ini iaitu Abang Long Fadil jika diperbuat perbandingan mengikut tempoh hari tayangannya.
Berbeza dengan sekuel pertama, ALF2 mengekalkan hanya seorang aktor asalnya iaitu pelawak Zizan Razak selain dibarisi ramai pelakon hebat termasuk Datuk AC Mizal, Wak Doyok, A. Galak, Syamsul Yusof dan Tania Hudson.
Sementara itu ditanya mengenai isu ‘bocor’, Yusof tidak menolak kesungguhan pihak Astro dalam membendung jenayah cetak rompak tersebut daripada berterusan dan pada masa sama turut membantu kutipan untuk filem ini.
“Memang kami ambil serius soal ini, kalau ikutkan filem ini memang sudah ada yang ‘bocor’ hampir keseluruhan filem. Bagi saya hal ini tidak sepatutnya berlaku, pihak Astro sendiri sudah mengenal pasti individu terbabit.
“Mereka sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang,”katanya. Ditanya sama ada filem ini akan diteruskan untuk menjadi filem trilogi, pihaknya bagaimanapun masih belum boleh memberi kata pasti.
“Buat masa ini masih belum dapat saya pastikan, bagaimanapun (pengarah ALF2) Syafiq Yusof ada memberitahu dia sudah pun mempunyai beberapa bahan untuk filem yang akan datang pula,” jelas Yusof lagi.
Filem aksi komedi itu sudah ditayangkan sejak 24 Ogos lalu. Ia mengisahkan perjalanan hidup Fadil terjerumus ke dalam dunia mafia, didalangi oleh Taji Samprit dan anaknya lakonan Wak Doyok.



No comments