Web Hosting

Piala Sultan Azlan Shah: KHM tunggu keputusan Poland

MALAYSIA selaku tuan rumah kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah, berharap pasukan hoki Poland dapat memberi kata putus berhubung penyertaan mereka dalam saingan berkenaan sebelum Jumaat ini.

Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk S. Shamala berkata sehingga kini hanya Malaysia, India, Korea Selatan, Kanada dan Jepun, sudah mengesahkan penyertaan manakala Afrika Selatan terpaksa menarik diri ekoran masalah kewangan.

“Kita sudah jemput pasukan Poland untuk menggantikan Afrika Selatan namun masih belum menerima sebarang keputusan. Kita akan tunggu jawapan mereka sehingga minggu depan. Jika Poland tidak dapat sertai, kejohanan ini akan diteruskan dengan hanya lima pasukan bertanding.

“Mungkin Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) akan terus kekalkan format asal ataupun diubah kepada format baharu. Mengenai jadual perlawanan, ia bergantung kepada penganjur,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek penajaan sempena penganjuran kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah, di sini semalam.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan majlis tersebut yang mendapat penajaan berjumlah RM2.063 juta.
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menerima replika cek penajaan sempena Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2019.
Ditanya mengenai sasaran jika hanya lima pasukan bertanding, Shamala berkata Malaysia kekal dengan matlamat mereka untuk mara ke perlawanan akhir kejohanan tersebut.
Kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak itu dijadual dari 23 hingga 30 Mac ini.

Untuk rekod, sejak kejohanan ini dianjurkan pada 1983, Malaysia belum pernah muncul juara dan pencapaian terbaik pasukan negara adalah muncul naib juara lima kali pada 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.

Kejohanan edisi ke-28 itu menjadi gelanggang pemanas badan buat skuad hoki kebangsaan menjelang Kejohanan Siri Hoki Akhir 2019 di Kuala Lumpur pada 26 April hingga 4 Mei ini.
Juara dan naib juara Siri Hoki Akhir 2019 akan melayakkan diri ke saingan Kelayakan Sukan Olimpik 2020. – Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama penaja sempena Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2019 yang akan diadakan pada 23 hingga 30 Mac ini. — foto Bernama

No comments