Web Hosting

Sultan Abdullah melawat Majlis Ugama Islam Sabah



KOTA KINABALU - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melawat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini, hari ini.
Al-Sultan Abdullah tiba di MUIS pada pukul 9.55 pagi dan turut mengiringi keberangkatan Baginda ialah Yang DiPertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. 

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dimulakan dengan sesi taklimat disampaikan oleh Yang Dipertua MUIS Datuk Dr Hasbullah Taha dan diikuti acara santapan. Baginda meluangkan masa selama sejam di MUIS dan selepas acara santapan Sultan Abdullah berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri, Kota Kinabalu.

Hari ini dalam majlis berasingan, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar berangkat melawat Galeri Artisan iaitu Galeri Batik Sabah pada 10 pagi di Menara Tun Mustapha, Jalan Sulaman. - Bernama

No comments